Thursday, September 23, 2010

Anggap Saja Saya Sudah Makan

Assalamualaikum wbt.

Alhamdulillah dan syukur kita kepada Allah swt yang masih memberikan kita ruang untuk bernafas dan menikmati nikmat yang tiada tandingannya didunia serta nikmat iman kepada kita.

Selawat dan salam kepada junjungan kita Nabi Muhamad saw, semulia- mulia insan yang dilahirkan kepada kita untuk dijadikan panduan oleh Allah kepada umat manusia.

Sebelum Ramadhan yang lalu di Surau AlIkhlas, Bandar Baru Bangi ada seorang Ustaz (lupa namanya) yang telah menyampaikan satu kuliah yang pada dasarnya berlingkar mengenai apakah sudah cukup sumbangan kita kepada agama.

Saya rakamkan kuliah tersebut dan saya dapatkan beberapa photo yang saya dapati dari blog seorang insan yang mulia.

Dalam kuliah beliau ada beliau menceritakan satu kisah seorang insan yang berada di pinggiran kota Istanbul Turki. Saya ingin nukilkan cerita ini untuk tatapan sahabat-sahabat agar sedikit sebanyak ia akan menerbitkan rasa insaf, muhasabah kita pada diri kita dan keluarga.

Ceritanya begini;

Disebuah kawasan Al- Fateh, dipinggiran kota Istanbul ada seorang insan yang warak dan berkehidupan sangat sederhana yang bernama Khairuddin Afandi. Setiap kali ia kepasar ia tidak akan membeli apa-apa. Apabila beliau merasa lapar atau ingin makan atau membeli sesuatu seperti buah-buahan, daging atau manisan, ia kan berkata pada dirinya “Anggap saja saya sudah makan” yang dalam bahasa Turkinya “Shanke Yadem”

Duit yang seharusnya digunakan untuk membeli makanan itu disimpannya didalam tabungnya dan hanya sedikit saja digunakan untuk keperluan meneruskan kehidupannya.

Hari berganti hari, bulan berganti bulan dan tahun berganti tahun, beliau istiqamah dalam melakukan aktivitinya kerana beliau mempunyai impian untuk membina sebuah masjid. Akhirnya hasil pengumpulan duitnya itu maka dapatlah ia menbina sebuah masjid yang kecil didaerah tersebut. Bentuknya amat sederhana, sebuah pagar persegi empat, diletakkan 2 menara kiri dan kanannya dan sebelah barat kiblat ditengahnya dibuat seperti mihrab.

Akhirnya terbinalah sebuah masjid kecil yang dicita-citakannya malah masyarakat setempat kehairanan bagaimana seorang yang miskin mampu membina sebuah masjid sedangkan ramai dikalangan orang-orang yang berada tidak dapat berbuat demikian.

Masyarakat pun tertanya-tanya bagaimana simiskin dapat membina masjid. Setelah mereka tertanya-tanya maka mereka pun mendapat jawapannya dan mereka pun menamakan masjid itu Masjid Shanke Yadem (Anggap Saja Saya Sudah Makan)

Keberkatan masjid ini jelas terlihat apabila setiap kali waktu solat dipenuhi dengan jamaah-jamaah hingga melimpah keluar

Maha Suci Allah. Subhanallah.

Sekiranya kaum muslimat dan muslimin ketika ini memiliki konsep hidup sederhana dan mementingkan kehidupan diakhirat dan mengutamakan istana disyurga, insyallah umat ini mampu meninggalkan yang haram dan syubahat dalam kehidupan mereka dan pasti mampu mengalahkan syahwat duniawi yang menipu itu.

Dan yang lebih penting kita tidak akan teragak-agak dalam menghulurkan derma, wakaf serta apa jua sumbangan dalam bentuk wang ringgit serta tenaga kejalan Allah swt

Maka saya mengingatkan diri saya serta sahabat-sahabat sekelian ambillah pengajaran dari nukilan kisah ini. Insyallah kita semua akan beroleh menafaat darinya.
Wasallam
Hj Rose Ady Hj Ramli
Bandar Baru Bangi
14 Syawal 1431 Hijrah

Thursday, September 16, 2010

HARI RAYA IDIL FITRI 2010





Hari Raya Aidil Fitri 2010 bersamaan 1431 Hijrah jatuh pada hari Jumaat 10/09/2010.
Kali ni disambut dirumah emak di Taman Paroi Jaya, Seremban. Alhmdulillah dapat menyempurnakan solat aidil fitri di Masjid Taman Paroi Jaya yang cantik yang boleh memuatkan jemaah yang hadir.

Selepas solat macam biasa sesi bermaafan sesama ahli keluarga dan pemberian duit raya kepada mereka yang berkenaan. Selesai sarapan pagi kami sekeluarga kepusara ayahanda tercinta, Allahyarham Hj Ramli Hj Ahmad yang berdekatan dengan stadium.

Kami berangkat ke Rantau, tempat kelahiran saya dan menziarah kepusara wan dan ahli keluarga yang lain dan selepas itu kerumah atuk Hj Sharif yang kini telahpun berumur 89 tahun.

Dirumah atuk, Induk Shariah dan hubbynya dah mula menyiapkan BBQnya dan sempat bertemu dengan keluarga Andak Baharin, Pak Ngah Ibrahim, makcik Ila serta Alang Ana.

Disebabkan hari itu adala hari Jumaat, kami ditakdirkan bersolat Jumaat di masjid Kg Solok yang mana kali terakhir solat dimasjid itu semasa Wan meninggal dunia beberapa tahun yang lalu.
Selepas solat terus ke Kg Nerambai, Lubok China kerumah Kak Ngah Senah, Pak Itam dan Kak Teh Baie. Sekembalinya, kami sempat singgah dirumah Pak Ngah Ibrahim diUlu Lalang sebelum kembali semula ke rumah emak di Taan Paroi Jaya, Seremban...raya kedua diKg Sega Ulu, Rantau dan serusnya raya ke tiga diSeremban, Kuala Pilah. Syukur dapat bertemu sanak saudara.
Kadang-kadang dalam keceriaan terselit cerita kurang menarik yang tidak minat dinukilkan dicoretan yang sebaik ini.

Insyallah berjumpa lagi di Syawal yang akan datang.....

HJ ROSE ADY HJ RAMLI
BANDAR BARU BANGI
16 September 2010

Tuesday, September 7, 2010

Ramadan & Syawal 1431 Hijra

Ramadan 1431 Hijra bakal melabuhkan tirainya beberapa hari lagi. Akan berlalulah satu lagi bulan yang amat berkat dan tinggi nilainya disisi Allah swt bagi hamba-hambanya yang mengetahui serta menginginkan keampunan dariNya, doa yang dimakbulkan dan kemerdekaan dari api neraka Allah serta mendapat keberkatan dan rahmatNya. Kesayuan dan kesedihan bagi mereka yang beriman dan bertaqwa kerana didalamnya terdapat satu malam yang lebih baik dari 1,000 bulan, dan sudah pasti ia akan meninggalkan kita. Mungkinkah akan kita temui Ramadhan yang akan datang.? Hanya Allah yang Maha Mengetahui. Insyallah...

Syawal kian menjelma dan bersempena dengan kedatangan Syawal 1431 ini saya sekeluarga mengambil peluang ingin mengucapkan,


SELAMAT MENYAMBUT HARI RAYA AIDIL FITRI 1431

MAAF ZAHIR BATIN



kepada semua kaum keluarga, anak saudara, sahabat-sahabat di Facebook, rakan-rakan blog serta e-mail. Semoga Allah swt akan memberikan kesempatan kepada kita untuk menikmati Aidil Fitri ini dengan penuh keberkatan. Amin

daripada
Hj Rose Ady Hj Ramli
Hjh Salmi Baharudin
Syamimi Hj Rose Ady
Radzlan Hj Rose Ady
Radzman Hj Rose Ady
Bandar Baru Bangi