Tuesday, November 30, 2010

KEHEBATAN TENTERA ISLAM DIBAWAH RUBAI B AMIR

KEHEBATAN TENTERA ISLAM DIBAWAH RUBAI B AMIR
Assalamualaikum wbt

Untuk renungan kita sekeluarga dan umat muslimin amnya.....
Pada minggu lepas, 19/11/2010, kuliah maghrib di Surau AnNur bersama Ustaz Zulkifli Ahmad yang menceritakan sirah mengenai perjuangan Islam dimasa yang lampau dan ada satu cebisan kisah yang mencuit hati saya yang ingin saya kongsi bersama para sahabat sekelian iaitu mengenai kehebatan tentera Islam dibawah panglimanya Rubai bin Amir .

Semoga dari nukilan kisah ini akan bertambahnya keimanan kita kepada agama ini dan dapat menyemaikan bibit-bibit perjuangan Islam dari dalam diri kita. Dalam erti kata lain perjuangan bukan hanya berteraskan perang dan sebagainya tetapi peperangan kita terhadap kemungkaran yang seringkali berada didepan mata kita....
Diceritakan disatu ketika itu tentera Islam hendak berperang dengan tentera Parsi yang hebat. Kekuatan tentera Parsi dibawah Rajanya Rustam yang dianggarkan seramai 120,000 – 125,000 orang manakala tentera Islam dibawah Rubai bin Amir dianggarkan hanya seramai 20,000 sahaja.

Sebelum perang bermula maka, Rustam pun mengarahkan pengawalnya memanggil Rubai ke istananya lalu seketika kemudian datanglah Rubai menghadap Rustam;

Dia masuk keistana Rustam dengan menunggang kudanya sehingga mengoyakkan permadani istana itu. Beliau masuk keistana tanpa tali sandal, membawa pedang atau tombak dengan menunggang kudanya. Kuda itu masuk istana Rustam dan memijak permadani lantainya  maka para pengawal Rustam pun berdiri untuk menangkapnya. namun Rubai berkata dengan tenang:

”Saya bukan diutus untuk menemui kalian, akan tetapi kalianlah yang mengirim utusan untuk mendatangkan saya. Jika kalian tak menginginkan kehadiran saya, maka saya akan kembali”.
Lalu Rustam menegur kpd pengawal-pengawalnya : ”Biarkanlah dia, kita yang memerlukannya” Lantas Rubai mengikatkan kudanya kepada satu kerusi kebesaran yang ada.

Sementara Rustam berada diatas singgasana emas, sedangkan orang-orang Parsi duduk. Rubai naik dan kemudian duduk diatas kerusi kebesaran yang ada. Bajunya berlobang , tanah dan debu mengotori singgasana emas. Lalu Rustam bertanya kepada Rubai:

“Apa yang membuatkan engkau berani benar menghadapi kami?” lalu dijawab oleh Rubai bin Amir dengan penuh bermakna,

Kamu datang kesini dengan berharap akan kembali untuk menemui isteri-isteri kamu tetapi kami datang kesini dengan berharap kami akan mati disini”

Kata-kata itu menyentap keegoan Rustam seketika

Lalu ditanya lagi oleh Rustam kepada Rubai bin Amir;

“Apa yang kalian bawa?”

Maka Rubai menjawab dengan kata-kata yang masyhur yang sering menjadi inspirasi bagi orang-orang Islam yang inginkan kemenangan Islam;

"Kami adalah kaum yang diutuskan Allah untuk mengeluarkan sesiapa yang berkehendak daripada penyembahan terhadap hamba kepada Tuhan yang Esa dan mengeluarkan manusia daripada kesempitan dunia kepada keluasan dunia dan akhirat serta mengeluarkan mereka dari kezaliman agama-agama lain kepada keadilan Islam”.

Begitulah kehebatan tentera Islam dizaman keagungannya satu ketika dahulu dan muhasabahlah pada diri kita, sejauh manakah sumbangan kita kepada Islam…..Subhanallah..

HJ ROSE ADY HJ RAMLI
Bandar Baru Bangi

PERGINYA BAPA SAUDARA, ALLAHYARHAM IBRAHIM BIN HJ SHARIF



Assalamualaikum wbt

Pembaca-pembaca yang dirahmati Allah swt.

Saya ingin berkongsi secebis nukilan untuk tatapan bacaan sebagai pedoman, moga-moga dengannya akan bertambahlah rasa keimanan serta ketaqwaan kita dalam mengharungi liku-liku penghidupan didunia ini.

Pada malam 2 November 2010 yang lalu seluruh keluarga telah hadir di Surau As Sobah, Bandar Baru Bangi dan selepas solat maghrib berjemaah, kami sedang mendengar kuliah maghrib oleh Ustaz Dr Zulkifli Mohamad Al Bakri.

Terdengar bunyi mesej dari telefon bimbit saya dan selepas dibaca, “Innalillahiwainnalillahirojiun”. Bapa saudara, Pak Ngah Ibrahim Sharif telah kembali kerahmatullah kira-kira sebelum maghrib tadi dirumahnya.

Saya pun memaklumkan kepada isteri yang duduk dijemaah wanita lalu kami pulang ke Rantau pada malam itu juga. Selepas menziarahi jenazahnya, kami sekeluarga kembali semula ke Bandar Baru Bangi.

Pada esok paginya saya kembali semula ke Rantau dan saya bersyukur  kehadrat Illahi, sebagai anak saudara yang paling tua, dapat juga saya membantu memandikan jenazahnya serta membantu mengapankannya dan membantu mengangkat jenazahnya kekuburan.

Insaf…sedih…sayu….betapa kerdilnya hambamu ini….teringat juga kuliah yang disampaikan oleh Ustaz Khairudin di Surau AnNur cerita bagaimana Allah menyuruh malaikat mengukur berapa besarkah kawasan dibawah naungan Allah di alam ini lalu disuruhnya malaikat mengukur..Lantas malaikat pun mengukur…dengan masa yang diambil begitu lama,    10 tahun…20 tahun…100 tahun ..1000 tahun sehingga ke 90000 tahun lamanya dan Allah memanggil malaikat itu kembali dengan bertanya sudah kah engkau jumpai sempadan kebesaran naungan ku…maka dijawab oleh malaikat …belum lagi Ya Allah…tahukah engkau bahawa selama ini yang engkau lalui itu hanyalah 1/10 sahaja dari sempadan naunganKu…lalu malaikat pun berkata…SUBHANALLAH. Dari situlah timbulnya kalimah tersebut yang selalu kita zikirkan setiap kali selepas solat.

Saya terfikir akan kebesaran Allah swt yang menghidup dan mematikan dan apa yang dibawa setelah nafas terhenti tidak lain dan tidak bukan hanyalah 3 perkara iaitu amalan-amalan semasa kita hidup iaitu
Sedekah, Ilmu yang bermenafaat serta anak solih yang selalu mendoakan allahyarham.

Allahyarham berumur 65 tahun.

Betapa berat mata memandang, berat lagi keluarga allahyarham yang menanggung tetapi bersabarlah diatas ketentuan Allah ini kerana mati adalah saat kita berpindah dialam yang satu lagi dan semua makhluk yang bernyawa pasti akan melaluinya.

Semoga ruhnya dicucuri rahmat Allah dan ditempatkan dikalangan orang-orang yang solih. Amin

HJ ROSE ADY BIN HJ RAMLI
Bandar Baru Bangi

Monday, October 25, 2010

Tercipta UntukKu



Buat isteri tersayang Hajjah Salmi bt Baharudin. Semoga Allah selalu memberkati kita, anak-anak dan keluarga, mendapat kasih sayang Allah dan sentiasa dilindungi oleh rahmatNya dunia dan akhirat. Dan mengikatkan lagi kasih sayang kita berdua bersama anak-anak dan berjumpa kita di syurga Allah nanti....insyallah

Thursday, October 21, 2010

Selamat Hari Lahir Radzman















 
19/10/10 bersamaan hari Selasa yang lalu adalah hari lahir Radzman yang ke 10. Semoga Radzman membesardengan berlandaskan syariat Islam. Ayah, ibu, abang dan Kak Long serta ahli-ahli keluarga yang lain mengharapkan Radzman beroleh kejayaan dunia dan akhirat dan mendapat rahmat Allah swt. 

Semoga tempatmu disyurga Allah nanti bersama ayah, ibu, abang, Kak Long, semua ahli keluarga dan umat Nabi Muhamad saw amnya...InsyAllah...Amin!!!

Dari nukilan ayahmu,
Hj Rose Ady Hj Ramli,
Bandar Baru Bangi

Tuesday, October 19, 2010

Perolehan Sebenar Hari Raya Bagi Mereka Yang Beriman

Assalamualaikum wbt
Bismillahhirohmannirrohim

Sahabat-sahabat yang dimuliakan oleh Allah swt. Semoga kita semua berada di landasan yang betul dan selalu mengerjakan amal-amal kebaikan agar kita mendapat kasih sayangNya, dilimpahkan rahmat serta diberkati dan diterima segala amal ibadah yang kita lakukan.

Selawat serta salam kepada junjungan besar kita, Nabi Muhamad saw serta seluruh kaum kerabatnya kerana dengannya kita memperolehi nikmat Islam dan iman.

Satu lagi cebisan ilmu yang saya perolehi dari Ustaz Solihudin Amran semasa kuliah maghrib di Surau AnNur, Bandar Baru Bangi pada 10 Oktober 2010 yang suka saya kongsi bersama sahabat-sahabat.

Tajuk kuliah pada malam tersebut adalah “Apakah Maksud Sebenar Hari Raya Bagi Orang-orang Yang Beriman”.
Didalam kuliah tersebut Ustaz Solihudin membicarakan mengenai sikap masyarakat kita yang terlalu taksub mengenai Hari Raya selepas berpuasa dibulan Ramadhan dan yang sedihnya selepas Ramadhan amalan-amalan seperti membaca alQuran, solat berjemaah, berpuasa sunat, berqiamulai, bertahajud, bersedekah dan sebahagian lainnya menurun indeksnya dan tidak diteruskan secara istiqamah.
Ramadhan mengajar manusia dan bulan latihan bagi manusia mentaati suruhan Allah swt malah terdapat didalamnya satu malam yang dinamakan Malam Lailatul Qad iaitu pahala beribadah selama 1,000 bulan.

Maha Suci Allah.

Allahuakbar.

Menurut Ustaz Solihudin terdapat 6 perkara yang menjadikan seseorang muslim itu memperolehi mendapat maksud sebenar Hari Raya itu.

1. Apabila seseorang Muslim itu pada sepanjang harinya dia tidak melakukan dosa dan maksiat. Hendaklah kita selalu dalam keadaan menyesal dalam dosa yang telah kita buat dan beberapa pesan dan seorang ulamak terkenal untuk manusia itu berubah hendaklah dia menyesali segala perbuatan dosanya dan mula atau suka menjinak-jinakkan dirinya ke majlis-majlis ilmu

2. Bila ia meninggal dunia, beliau meninggal dalam keadaan yang baik dengan mana ia mengekalkan atau beristiqamah dalam kebaikan.

3. Apabila di alam kubur ia terlepas dari azabnya diatas amalan yang telah dilakukannya didunia.

4. Apabila dia berjaya melepasi titian siratulmustaqim

5. Apabila dia memperolehi syurga Allah swt seperti yang dijanjikan

6. Apabila hari berkumpulnya seluruh ahli syurga, para Nabi, para mujahid dan dapat melihat wajah Allah swt di akhirat nanti

Justeru itu, marilah kita bersama-sama mempertingkatkan amalan, ibadah, mempertingkatkan iman dan terus menerus beristiqamah dalam apa jua kebaikan, tidak juga lupa kita membantu ahli-ahli keluarga, saudara mara dan sahabat handai dalam menjalani hidup ini dilandasan yang disuruh oleh Pencipta kita.

Semoga kita semua akan mendapat petunjuk dan hidayah dan memperolehi syurganya dikemudian hari nanti.

Wasallam

Hj Rose Ady Hj Ramli
Bandar Baru Bangi