Wednesday, February 23, 2011

Cara Menghindari Diri Dari Perlakuan Yang Jelik

Dengan nama Allah yang Maha Pengasih Maha Penyanyang... 
   
Bersyukur kita kehadrat Illahi kerana dengan petunjuk dan inayahNya, dapat lagi kita bersemuka dalam e-mail ini lagi, berbicara mengenai Islam dan kemanisan Iman dan Taqwa.

Marilah kita berselawat dan mengucapkan salam kepada junjungan Nabi kita, Nabi Muhammad saw yang telah banyak membimbing kita kearah kebenaran serta bersyukurlah lah kita sebanyak-banyaknya kerana kita dilahirkan dalam Islam dan tanpa Islam maka malanglah kita menjadi penghuni sementara bumi dan alam dunia ini.

Sayangnya kita kepada Rasulullah saw mestilah berpaksi kepada menurut ajarannya dan menghindari melakukan perkara yang dilarang olehnya. Dan janganlah kita menjadi orang yang hanya menyatakan sayang kepadanya secara lisan tetapi pada hakikat dan perbuatan kita memperlihatkan sifat-sifat kufur yang amat-amat dibenci oleh Allah dan RasulNya

Seperti biasa saya ingin kongsikan bersama sahabat-sahabat sekelian hasil dari catatan dan rakaman saya semasa kuliah subuh di Surau An-Nur, Bandar Baru Bangi bersama Yang Dimuliakan Ustaz Dr Abdullah Yassin pada 20/02/2011. Kuliah-kuliah beliau juga boleh sahabat2 lihat dalam “Youtube”  sekiranya sahabat2 berkelapangan.

Kuliah subuh pagi tersebut memperbincangkan mengenai tafsiran al-Quran, Surah al-Maarij, ayat 19 – 35, iaitu surah yang memperlihatkan bagaimana menghindarkan diri dari sifat semulajadi manusia yang jelik terutama sifat keluh kesah, kedekut dan lalai dalam mengingati Allah swt.

Terjemahan ayat-ayat tersebut adalah seperti dibawah ini ;

[19]
Sesungguhnya manusia itu dijadikan bertabiat resah gelisah (lagi bakhil kedekut); -
[20]
Apabila ia ditimpa kesusahan, dia sangat resah gelisah;
[21]
Dan apabila ia beroleh kesenangan, ia sangat bakhil kedekut;
[22]
Kecuali orang-orang yang mengerjakan sembahyang -
[23]
Iaitu mereka yang tetap mengerjakan sembahyangnya;
[24]
Dan mereka (yang menentukan bahagian) pada harta-hartanya, menjadi hak yang termaklum -
[25]
Bagi orang miskin yang meminta dan orang miskin yang menahan diri (daripada meminta);
[26]
Dan mereka yang percayakan hari pembalasan (dengan mengerjakan amal-amal yang soleh sebagai buktinya);
[27]
Dan mereka yang cemas takut daripada ditimpa azab Tuhannya, -
[28]
Kerana sesungguhnya azab Tuhan mereka, tidak patut (bagi seseorangpun) merasa aman terhadapnya;
[29]
Dan mereka yang menjaga kehormatannya, -
[30]
Kecuali kepada isterinya atau kepada hambanya, maka sesungguhnya mereka tidak tercela;
[31]
Kemudian sesiapa yang mengingini selain dari yang demikian, maka merekalah orang-orang yang melampaui batas;
[32]
Dan mereka yang menjaga amanah dan janjinya;
[33]
Dan mereka yang memberikan keterangan dengan benar lagi adil (semasa mereka menjadi saksi);
[34]
Dan mereka yang tetap memelihara sembahyangnya;
[35]
Mereka (yang demikian sifatnya) ditempatkan di dalam Syurga dengan diberikan penghormatan

Ayat yang pertama menyatakan bahawa manusia itu diuji oleh Allah swt, mereka akan dengan berasa berkeluh kesah, bersifat kedekut serta lari dari menunaikan tanggungjawabnya apabila dianugerahkan Allah swt kesenangan.

Untuk menghindari sifat-sifat ini Allah menyatakan dalam ayatnya;

  1. Seseorang itu mestilah senantiasa melakukan solat dan solat itu penuh kekal dan dia beristiqamah dengannya.
  2. Yakinilah terdapat dalam harta dan wang ringgit kita untuk orang-orang yang telah Allah letakkan haknya iaitu orang-orang miskin yang meminta-minta bantuan serta orang-orang yang miskin serta redha tetapi mereka tidak meminta-minta walhal mereka berhak mendapat apa yang Allah telah tentukan
  3. Menyakini terdapat dan akan datangnya hari pembalasan  serta azab dari Allah swt.
  4. Juga orang-orang yang memelihara kehormatannya (menghindari dirinya dari melakukan zina dll)
  5. Mereka adalah yang mengamalkan ketepatan janji serta menjaga amanah yang diberikan kepadanya.
  6. Mereka mempunyai sifat memberikan keterangan yang benar apabila menjadi saksi
  7. Serta orang yang menjaga solatnya sentiasa
Insyallah semoga dengan ruang ilmu yang amat terbatas ini, Allah swt akan mengurniakan kita pemahaman serta menganugerahkan kita rahmatnya didunia dan akhirat kerana tanpa rahmatnya maka siapalah kita dibumi ini.

Wasallam 

HJ ROSE ADY HJ RAMLI
Bandar Baru Bangi
20 Rabiulawal 1432

No comments:

Post a Comment