Thursday, December 15, 2011

ISTIMEWANYA SHUHAIB BIN SINAN DISISI ALLAH DAN RASULNYA

ISTIMEWANYA SHUHAIB BIN SINAN DISISI ALLAH DAN RASULNYA

Alhamdulillah…..

Allah yang Maha Besar, zat yang maha sempurna yang tiada kurang baginya. Selawat serta salam sebanyak-banyaknya kepada Rasulullah saw, sebaik-baik ciptaan Allah, semulia-mulia utusan Allah didalam siri perutusan para Nabi-nabi dan Rasul-rasul terdahulu. Diturunkan kepada Baginda sebaik-baik syariat dan ajaran serta sebaik-baik nikmat Iman dan Islam dan adalah Nabi diutuskan kepada kita sebaik-baik umat berbanding umat-umat terdahulu.

Rugilah kita didunia dan akhirat sekiranya nikmat Iman dan Islam itu tidak kita perolehi sepanjang perjalanan kita menuju hari akhirat.

Sekian lama saya tidak menukilkan tazkirah pendek dan alhamdulillah Allah membuka hati saya untuk berkongsi dengan satu kisah semasa saya menghadiri satu majlis ilmu (maghrib) di Surau AnNur, Bandar Baru Bangi pada 19 Disember 2011 yang lalu bersama Ustaz Gunawan.

Apabila kita membicarakan mengenai Hijrah Rasulullah saw  ke Yathrib (Madinah)  selalunya personaliti yang utama yang kita telah sedia maklum adalah Rasulullah saw serta Saidina Abu Bakar ra.

Walaubagaimanapun penghijrahan ini tidak hanya berkisar kepada beliau tetapi satu nama yang seringkali tersisih dari ingatan kita semua iaitu, Shuhaib bin Sinan.

Beliau pernah bermimpi dan mimpi beliau dimaklumkan kepada Rasulullah saw mengenai Hijrah Rasulullah saw dimana dalam mimpi tersebut beliau telah ditunjukkan oleh Rasulullah saw tempat hijrahnya Nabi saw iaitu katanya disatu kawasan pertempatan tanah yang subur buminya. Di kawasan itu beberapa tanaman akan tumbuh subur yang terletak diantara dua tanah hitam.

Shuhaib amat bercita-cita untuk menyertai rombongan Rasulullah saw dan semasa peristiwa penghijrahan Nabi saw bersama Abu Bakar ra, beliau telah menuruti Baginda secara berseorangan.

Tujuan beliau adalah untuk mengejar Rasulullah saw berserta Abu Bakar ra, namun penduduk kafir Quraish telah mengetahui niat beliau lalu dapat menghalang serta mengepung beliau dari turut serta rombongan Rasulullah saw.

Beliau telah diarahkan untuk berpatah balik ke Mekah. Adapun Shuhaib bin Sinan ini adalah seorang yang hartawan lagi kaya. Dikisahkan dalam riwayat, semasa berbincang dengan penduduk kafir Quraish, Shuahaib telah menyatakan kesudiannya menawarkan sebanyak 40 keping dinar emas kepada mereka sekiranya mereka sudi melepaskannya untuk berhijrah bersama Rasulullah saw ke Madinah.

Lalu dibawa olehnya pemuka-pemuka Quraish itu kerumahnya dan disuruh olehnya menggali satu kawasan dirumah beliau. Memang betul kata-kata Shuhaib mengenai 40 keping dinar emas itu berada di kawasan yang dimaksudkan.

Maka pergilah Shuhaib bin Sinan memulakan perjalanannya ke Madinah al Munawarah dengan meninggalkan segala harta-harta dan kemewahan beliau yang selama ini diusahakan oleh beliau sendiri.

Alhamdulillah, setibanya beliau di Quba, dan kebetulan pada waktu itu Rasulullah  saw sedang bersama-sama sahabat dan penduduk Madinah dan alhamdulillah bertemulah mereka.

Lalu Rasulullah saw memandang kearah Shuhaib bin Sinan dengan wajah gembiranya baginda berkata; 

”Wahai Abi Yahya...
  Perniagaan yang amat memguntungkan...
  Perniagaan yang amat menguntungkan....
  Perniagaan yang amat menguntungkan... ”

Lalu Allah menurun  ayat al Quran yang bermaksud;

” Dan di antara manusia ada yang mengorbankan dirinya kerana mencari keredhaan Allah semata-mata, dan Allah pula Amat belas-kasihan akan hamba-hambaNya” (Surah al Baqarah, ayat 207)

Besarnya pengorbanan Shuhaib bin Sinun kerana untuk mendapatkan keredhaan Allah beliau sanggup meninggalkan segala kemewahan, kekayaan yang telah beliau hasilkan semata-mata kerana Allah dan Rasulnya.

Dan pengorbanan yang beliau buat tidak sia-sia sehinggakan Rasulullah swt amat bergembira diatas hijrah beliau,  malah Allah swt amat suka kepada beliau sehingga Allah menurunkan ayat tersebut tanda redhanya Allah terhadap pengorbanan Shuhaib bin Sinan.

Kalaulah hendak dibandingkan dengan kita pada hari ini masih ramai daripada kita yang sanggup berbelanja mahal kepada harta atau perkara-perkara dunia tetapi kita akan menjadi kedekut apabila menginfakkan harta kita untuk jalan Allah walaupun berkali-kali kita dihimpunkan dengan ayat-ayat dan hadis mengenai pengorbanan, sedekah dan sebagainya untuk tujuan redha Allah yang maha suci.

Saya masih lagi teringat kata-kata satu kumpulan jemaah yang turut hadir dimajlis ilmu tersebut yang terdiri dari 4 lelaki yang datangnya dari Birmingham, England yang memerlukan derma dari para jemaah kerana mereka hendak membeli tanah setengah ekar di Birmingham untuk mendirikan masjid dengan harga Pound 350,000.  Amat tersentuh hati apabila beliau berkata dalam akhir penerangan beliau;

”Dear brothers and sisters....
  Please help us to build this Masjid…
  If  you help us to build a Masjid in this world...
  Allah promise you a castle in Jannah…..”

Mashaallah….Subhanallah

Dan beliau mengucapkannya beberapa kali dihadapan semua jemaah.

Diharapkan nukilan yang amat sedikit dari perolehan ilmu yang sedikit yang saya perolehi ini dapat menanamkan bibit rasa keimanan, ketaqwaan kepada saya dan sahabat-sahabat semua agar hidup kita sentiasa terbimbing olehNya serta kita perolehi keredhaaNya, rahmatNya didunia ini maupun diakhirat nanti…insyallah.

Wallahualam.

Wasallam.

Hj Rose Ady Hj Ramli
Bandar Baru Bangi
19 Muharam 1433 Hijrah
15 Disember 2011.







No comments:

Post a Comment