Adakah
anda tahu apa itu istidraj?
Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud:
“Apabila kamu melihat bahawa Allah SWT memberikan nikmat kepada hambaNya yang selalu
membuat maksiat (dosa) ketahuilah bahawa orang itu telah diistidrajkan oleh
Allah SWT”. (Diriwayatkan oleh: At-Tabrani, Ahmad danAl-Baihaqi)
Istidraj ini adalah satu kalimah, yang sering
menunjuk kepada keadaan seseorang itu yang terus dilimpahkan rezeki dan
kejayaan yang melimpah ruah dalam kehidupannya, walaupun dia bukan hamba ALLAH
yang taat, malah seorang pembuat maksiat yang tegar. Kenapa mereka ini
dinamakan manusia yang mendapat istidraj?
Istidraj adalah, apabila ALLAH memberikan kejayaan,
harta kekayaan, rezeki yang melimpah ruah untuk manusia itu menjadi lebih jauh
dariNya.
Biasanya, manusia yang mendapat istidraj ini adalah
mereka yang tidak berusaha menjalankan ISLAM dalam kehidupan, juga tidak
berusaha mengenali ALLAH SWT.
Contoh manusia yang mendapat istidraj ini banyak.
Kita lihat contoh yang mudah. Qarun. Apakah anda kenal kepada Qarun? Dia ini
adalah seorang manusia yang teramat kaya. Diriwayatkan bahawa, kotak yang
mengisi kunci kepada gedung-gedung perbendaharaannya tidak mampu diangkat oleh
orang-orang yang kuat. Hal ini hendak menyatakan betapa kayanya dia. Kisah Qarun terdapat di dalam Al-Quran. Hartanya
melimpah ruah. Segala perniagaannya menjadi. Segala pelaburannya mengembang.
Hartanya makin hari makin bertambah, sedang yang bertambah semalam tidak pula
luak digunakan.
Tetapi bila Nabi Musa cuba
mengingatkannya berkenaan semua kekayaannya itu datang daripada ALLAH, maka
Qarun dengan angkuh menjawab,
“ Tidak, semua ini adalah hasil dari ilmuku”
Lihat. Lihat apa kata Qarun. Tidak, semua ini
adalah hasil dari… ILMUKU. Dia nyata semakin jauh dari ALLAH, walaupun
kekayaannya menjadi, rezekinya melimpah ruah dan sebagainya. Dia saban waktu
memperlekehkan pengikut-pengikut nabi Musa yang terdiri dari orang miskin dan
hamba. Apakah pengakhiran Qarun? Dia akhirnya
ditenggelamkan ALLAH ke dalam bumi dengan seluruh hartanya. Kisah ini terdapat
di dalam Al-Quran.
Nah… Apakah itu yang kita mahu?
Marilah kita berfikir sejenak,
apakah yang akan timbul di dalam hati kalian apabila kalian ini jenis yang
melazimi dosa-dosa, melakukan maksiat, kemudian kalian berjaya di dalam
peperiksaan atau perniagaan. Apakah yang agaknya akan timbul dalam jiwa orang
tersebut?
Rasanya, mesti 99% akan merasa begini, “ Tengok,
aku tak solat pun berjaya. Siapa kata solat tu bawa kejayaan?”
Apakah yang akan terjadi kepada anda ketika itu?
Anda berjaya, tetapi anda semakin jauh dari ALLAH. Itulah istidraj.
Maka janganlah merungut dan gusar
bila kita tidak berjaya. Teruskan berusaha dan cuba lagi. Hubungan keimanan
kita dengan ALLAH itulah yang perlu dijaga. Jika kita berjaya membina hubungan
keimanan yang baik, insyaALLAH, datanglah badai apa sekalipun, kita akan mampu
melaluinya.
Sebenarnya ALLAH suka menguji hamba-hambaNya yang
beriman. Terdapat lagi satu kisah yang mana:
Terdapat dua orang nelayan. Seorang penyembah
berhala, dan seorang lagi muslim yang taat kepada ALLAH. Ketika menebar jala,
yang menyembah berhala menyebut nama berhalanya, manakala yang muslim membaca
bismillah. Bila jala diangkat, yang menyembah berhala mendapat banyak ikan,
manakala yang muslim, hampir sahaja tiada ikan untuknya pada hari itu.
Malaikat yang melihat keadaan itu bertanya kepada
ALLAH.
“ Ya ALLAH, apakah yang telah berlaku? HambaMu yang
menyekutukanMu, KAU berikan dia rezeki yang banyak, sedangkan hambaMu yang
menyebut namaMu, KAU tidak memberikan DIA apa-apa”
ALLAH menjawab,
“ Yang menyekutukanKu, tempatnya
memang sudah pasti NERAKA. Maka apalah sangat rezeki yang pasti akan hancur itu
jika Kuberikan kepadaNya? Tetapi HambaKu yang beriman itu, AKU hendak
mengganjarkanNya syurga, maka AKU suka mengujinya untuk melihat kebenaran
imanNya”
Nah, jangan anda kecewa bila
diuji, tidak berjaya di dalam peperiksaan walaupun sudah berusaha, gagal dalam perniagaan
walaupun kemas menyusun strategi. Itu semua adalah sebahagian dari ujian ALLAH.
ALLAH menguji hanya untuk mereka yang dikasihi. Bukankah ALLAH SWT ada
berfirman,
“ Apakah kamu mengira KAMI akan membiarkan kamu
berkata kami beriman sedangkan kamu belum diuji?…”
Jika gagal terhadap satu-satu perkara, itu perkara
itu. Anda masih belum gagal dalam kehidupan. Teruskan usaha, selagi nyawa masih
ada. InsyaALLAH ALLAH akan memberikan sesuatu yang bermakna kepada anda.
Bersangka baiklah kita kepada PENCIPTA kita. Maka sebenarnya, bila hidup kita digegarkan dengan
masalah, hendaklah kita rasa bersyukur. Tandanya, ALLAH masih lagi dekat dengan
kita. Ujian adalah tanda kasih sayang dan perhatianNya kepada kita. Mustahil kita suka senang sebentar
di dunia, di akhirat yang kekal abadi nanti anda merana. Anda mahukan istidraj?
Tentunya Tidak Kan..
Rasanya, persolan begini selalu bermain difikiran
sesetengah orang. Sebab itulah, muhasabah diri itu penting. Untuk kita sentiasa
periksa bagaimanakah hubungan kita dengan ALLAH SWT. Aku berdosa, tetapi aku berjaya…. Berhati-hatilah
kita agar jangan sampai lafaz itu, atau lafaz-lafaz yang membawa maksud serupa
itu terkeluar dari mulut kita.
Untuk sama-sama mendapat muhasabah, kadang-kadang
terlupa & kurang bersyukur dengan nikmat yang Allah s.w.t. telah
berikan.
Subhanallah..Wallahua'lam.
(Sumber dari Facebook)
No comments:
Post a Comment