Friday, August 20, 2010

Pandangan Allah SWT Terhadap Majlis-majlis Ilmu

Assalamualaikum wbt
Bismillahhirrohmannirohim
Maha Suci Allah yang telah memberikan nikmat dan limpah kurniaNya kepada manusia dan alam ini dan selawat serta salam kepada Nabi Muhamad saw, semulia-mulia insan yang dijadikan oleh Allah swt untuk memandu manusia didunia ini.

Saya hendak berkongsi salah satu dari kuliah yang saya hadiri di Surau AnNur beberapa minggu sebelum bulan Ramadhan dari Ustaz Johari Wahab mengenai salah satu kisah Nabi Muhamad saw.

Daripada Abu Waqid al-Laithi ra, beliau menyatakan bahawa ketika Rasulullah saw sedang duduk di masjid bersama para sahabat, tiba2 datang 3 orang .
Dua orang darinya menghadap kepada Nabi saw dan seorang lagi pergi berlalu.
Dua orang tersebut berhenti untuk menyertai majlis Rasulullah saw , salah seorang daripadanya telah melihat suatu tempat kosong di antara bulatan para sahabat yang lain dan duduk di situ. Manakala seorang lagi duduk di belakang mereka, dan yang ketiga telah berpaling pergi meninggalkan majlis .
Apabila Rasulullah saw selesai berbicara dengan para sahabat , baginda bersabda:
“Mahukah kamu semua jika aku ceritakan tentang perihal tiga orang tersebut? Salah seorang antara mereka menuju kepada Allah (menyertai majlis Rasulullah saw). Maka Allah masukkannya dalam rahmatNya, yang seorang lagi malu(untuk mencelah di antara kumpulan sahabat) maka Allah juga malu (dengan merahmatinya); dan yang ketiga berpaling (daripada majlis Rasulullah saw), maka Allah berpaling daripadanya (murka kepadanya)”
[Riwayat al-Bukhari :66] (daripada “Terjemahan Mukhtasar Sahih Al-Bukhari”, karya Imam Al Zabidi Jilid 1)
Pengajaran daripada kisah ini adalah sertailah majlis-majlis ilmu dan sekiranya berada didalamnya, maka ambil tempat berdekatan dengan Ustaz yang menyampaikan ilmu itu dan jangan sekali-kali pulang meninggalkan majlis-majlis zikir/ilmu ini kerana akan mengundang kemurkaan Allah swt.
Semoga dengan kisah in memberikan sedikit keinginan untuk kita menghadiri majlis-majlis zikir/ilmu. Insyallah
Wasallam
Hj Rose Ady Hj Ramli
Bandar Baru Bangi,
10 Ramadhan 1431 H

No comments:

Post a Comment