Monday, May 9, 2011

Menunda Amal Kebaikan Kerana Menantikan Kesempatan

Assalamualaikum wbt
Sahabat-sahabat yang dimuliakan oleh Allah swt ....

 1. Pertama-tamanya marilah kita memuji Allah swt yang  Maha Besar yang tiada kurang sifat baginya.
     Perbanyakkanlah selawat dan salam kepada junjungan kita Nabi Muhammad saw yang disifatkan
     oleh Allah swt merupakan sebaik2 utusan Allah, diturunkan kepada baginda serta sebaik2 syariat
     dan ajaran.

2. Ditangan baginda telah tersebar sebaik2 nikmat dan antara nikmat2 Allah swt yang tidak terhitung
     banyaknya, sebagaimana frman Allah swt iaitu nikmat Iman dan Islam

3. Sehinggakan kata para ulamak, sekiranya Allah swt mengurniakan dunia dan segala isinya dan ditambah
     dengan dunia lain dan segala isinya kecuali Allah menghalang nikmat Iman dan Islam, maka tidak adalah
     berlaku pada diri kita kecuali rugi didunia dan akhirat.

4. Pertamanya kita panjatkan rasa kesyukuran kehadrat Ilahi diatas rezekinya yang tidak pernah putus-putus
     kepada kita.

5. Alhamdulillah saya telah ditakdirkan olehNya berada di satu majlis ilmu pada 03/05/2011 di Surau
    AsSobah, Bandar Baru Bangi bersama Ustaz Dr Zulkifli Mohamad al Bakri dalam kuliah maghrib. Kuliah
    maghrib tersebut membincangkan Kitab Syarah Al Hikam dalam penghuraian mengenai tajuk “Menunda
    Amal Kebaikan Kerana Menantikan Kesempatan”

6. Ia menghuraikan mengenai sikap manusia yang seringkali menantikan saat yang sesuai untuk beribadah
    dan mengerjakan amal solleh walhal kematian itu pasti dan datang bila-bila masa dan hanya Allah swt
    sahaja yang mengetahuinya.

7. Kita seringkali mendengar ungkapan-ungkapan seperti dibawah atau kita sendiri menuturkan ungkapan-
    ungkapan tersebut,
   “Aku akan menjadikan masjid itu rumah kedua ku apabila aku pencen nanti, dan masa ini adalah untuk aku
     mencari rezeki sebanyak-banyaknya”
    atau

   “Lecehlah, masa ini sibuk sangat dengan anak-anak dan kerja,  bila anak-anak dah besar nanti aku akan
    belajar ilmu agama”

8. Dalam suhuf Nabi Ibrahim as,
   “Orang berakal yang tidak dikalahkan oleh akalnya mestilah mempunyai   banyak masa. Satu masa dia  
     bermunajat kepada Tuhannya dan satu masa dia bermuhasabah dirinya dan satu masa dia berfikir tentang
     ciptaan Allah swt dan satu masa lagi dia menyelesaikan hajat makan dan minumnya. Orang berakal
     mestilah tidak bermusafir melainkan tiga perkara iaitu; Membuat persediaan untuk hari akhirat, atau tujuan
     untuk hidup dan berlazat (menikmati rezeki) dengan makanan yang bukan haram. Orang berakal mestilah
     memahami keadaan semasa, bersedia menghadapi urusannya dan menjaga lidahnya. Sesiapa yang
     sentiasa muhasabahnya berbanding amalnya, akan sedikitlah kalamnya melainkan kepada perkara yang
     berfaedah”

7. Sabda Rasulullah saw maksudnya,
   ”Dua nikmat yang terpedaya oleh kebanyakkan manusia iaitu nikmat sihat dan nikmat masa lapang”

8. Seorang penyair telah bermadah,

    ”Berbekallah menghadapi sesuatu yang pasti tiba,
      Kematian sudah ditentukan kepada manusia,
      Sudikah kamu menemani orang,
      Yang punyai bekalan sedangkan kamu tidak punyai bekalan”

9. Antara syair yang dialunkan oleh generasi para solehin selepas mereka ialah,

   ”Berbekallah dengan ketaqwaan,
    Kamu tidak tahu jika malam melabuhkan tirainya,
    Adakah kamu akan hidup hingga terbit fajar?
    Betapa ramai orang mati tanpa sebab,
    Betapa ramai orang sakit mampu hidup lebih lama
    Betapa ramai pemuda hidup dalam kelalaian
    Sedangkan kafannya sedang ditenun tanpa disedari

Semoga kita mendapat menafaat dari nukilan yang ringkas ini. Wallahualam .Wasallam.

HJ ROSE ADY HJ RAMLI
Bandar Baru Bangi

No comments:

Post a Comment